Sunday

Trauma Hati

Saya melangkah perlahan-perlahan dari hujung bilik ke hujung bilik sambil membilik koleksi-koleksi simpanan saya. Begini lah setiap hari, saya lebih suka untuk duduk di dalam bilik. Sendiri-sendiri. Diam-diam. Rasa seperti takut dengan dunia luar. Takut. Trauma, mungkin.

Saya pergi ke koleksi pertama lalu mengimbau kenangan. Seorang lelaki, dulu, pernah janjikan saya hati dan jantungnya. Masih jelas ayat yang diucapnya pada saya dulu.
'i will love you until my last breath, because i need you just like my heart needs a beat."
Indah benar ketika itu. Saya disamakan dengan degupan tanda nyawanya sendiri. Manis bukan. Saya hidup dalam kemanisan janji-janjinya sampai satu masa, saya dapat tahu bahawa janji-janji manisnya juga sudah dicurah pada perempuan lain. Dengan kesedihan yang terlampau, saya tanyakan pada dia tentang hal itu. Namun, dia mengelak untuk memberi jawapan. Namun, dengan desakan saya, akhirnya saya tahu, kini, jantungnya masih berdegup. Tapi bukan lagi untuk saya, kini, jantungnya berdegup untuk perempuan lain yang lebih cantik dan putih melepak. Kurus dan tinggi persis model iklan dan produk pelangsingan.

Bila saya tuntut kembali janji dia, dia kata saya gila. Lalu saya naik gila dan entah macam mana, kini, jantungnya ada dalam simpanan saya. Elok terendam dalam larutan formaldehyde. Masih nampak baru, seperti semalam baru saya keluarkan dari dadanya bersama pancutan-pancutan darah suam.

Saya pergi ke koleksi kedua dalam bilik tidur saya. Kali ini, lain pula ceritanya. Selepas kecewa dengan yang pertama, saya mencuba nasib untuk kali kedua. Kali kedua, pengorbanannya lain sedikit. Seorang lelaki juga, hidup dengan separuh hati saya selepas hatinya rosak akibat penyakit. Dijanjinya kepada saya, akan menjaga hati saya baik-baik.
Tapi, menyedihkan, dia juga sama. Bermain dengan kayu tiga. Tidak kenang budi. Kalau saya tahu, dari awal saya takkan bagi hati saya. Bila saya ungkit tentang itu, dengan gahnya dia berkata, "ambil kembali hatimu. Aku boleh hidup dengan hati dia."
Sekali lagi, saya 'membantu' teman lelaki saya yang kedua ini untuk mengotakan janjinya. Suatu malam, ketika berjalan seorang-seorang untuk membeli rokok di 7 Eleven, saya terpandang kelibatnya minum-minum di sebuah bar. Kurang ajar. Sudahlah hidup dengan hati orang, dirosak-rosaknya dengan air kencing syaitan. Bodoh.
Bila dia keluar dari bar itu dengan mabuk-mabuk, saya lakukan kerja merampas semula hati yang dia pernah ambil dari saya. Saya potong-potong dadu dan rendamkan dalam clorox. Biar bersih semua najis syaitan dari hati saya yang separuh sudah saya bagi pinjam pada dia.

Dan hati berpotongan dadu dalam clorox, kini menjadi koleksi simpanan kedua di bilik tidur saya.

Lama juga saya simpan hati dari terkena kata-kata cinta. Sehingga suatu hari, saya terjumpa seorang yang kononnya bakal membetul apa yang rosak pada saya. Dan melengkap apa yang tak cukup pada saya.
Awalnya sama indah, tapi selepas berapa lama, sama juga, gila. Diam-diam rupanya, dia menyimpan seseorang yang bakal dijadikan suri hidupnya. Ketika itu, saya berasa seperti tiada guna lagi saya ada hati, jika tidak sudah-sudah disakiti.
Suatu petang ketika kami berbincang tentang masa depan yang tidak menampakkan saya dan dia akan bersama di dalamnya, dengan rasa sedih dan kecewa saya meluru ke dapur kedai mamak. Rampas pisau daging, potong bahagian dada sendiri dan keluarkan hati. Saya masukkan ke dalam blender, campur sedikit gula. Hidang pada dia.

Di dalam bilik tidur ini, hari ini, saya bukakan butang baju di depan cermin. Renung lama-lama biar ingat sampai mati. Parut bentuk empat segi. Di mana hati saya patut ada, tapi kini, kosong.

Hari ini. Saya akui, saya trauma untuk bagi hati lagi pada siapa-siapa yang minta. Dan saya sudah tak ada hati.

Pergilah. Cari hati lain yang awak boleh carik dan makan mentah.

- sempena tema Trauma di blog FederasiBawahan. Terima kasih kerana menjemput.

1 comment:

EmpayarUtama said...

Bila baca, saya naik gila. Selamat Hari Raya yea :)